Saturday, 20 May 2017

PAUTAN ARTIKEL DAN ULASAN ARTIKEL - ISU TEKNOLOGI DALAM PENDIDIKAN MATEMATIK

Artikel 1

TAJUK ARTIKEL    : PENGGUNAAN ICT DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN 
                                    MATEMATIK DI KALANGAN GURU-GURU PELATIH UTM

PENULIS ARTIKEL : NOOR AZLAN AHMAD ZANZALI & Noraziah Binti Kassim @ Aziz

ULASAN :

Kajian ini dijalankan bertujuan untuk meninjau penggunaan Information Communication Technology (ICT) dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) Matematik di kalangan guru pelatih Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Tiga aspek telah dikaji bagi menjawab persoalan kajian iaitu kelebihan menggunakan ICT dalam P&P Matematik, kelemahan penggunaan ICT dalam P&P Matematik dan masalah-masalah yang dihadapi oleh guru pelatih UTM dalam menggunakan ICT dalam P&P Matematik. Sampel kajian terdiri daripada lima orang guru pelatih UTM yang menjalani latihan mengajar di sekolah-sekolah berhampiran. Dapatan kajian mendapati guru-guru pelatih kurang meggunakan ICT dalam P&P Matematik. Ini adalah disebabkan oleh faktor-faktor luaran seperti kemudahan ICT yang tidak sempurna dan ketidaksesuaian isi pengajaran yang telah tersedia. Beberapa usul telah dikemukakan kepada pihak yang terlibat iaitu tenaga mahir, guru pelatih dan pihak sekolah bagi memantapkan lagi penggunaan ICT dalam P&P Matematik



TAJUK ARTIKEL     : ICT DALAM PENDIDIKAN: PROSPEK DAN CABARAN DALAM PEMBAHARUAN PEDAGOGI

PENULIS ARTIKEL : ROBIAH SIDIN DAN NOR SAKINAH MOHAMAD

ULASAN : 

Satu kajian kuasi eksperimen telah dilakukan untuk melihat kesan pencapaian ke atas pembelajaran subjek komputer yang diajar dengan kaedah perantis (pendekatan konstruktivisme) berbanding dengan kaedah tradisional (pendekatan tingkah laku).Bagi kaedah tradisional penerangan langkah demi langkah diberikan manakala bagi kaedah perantis, guru memberikan panduan ke arah menggalak dan memudahcarakan menyelesaikan masalah iaitu membina laman web secara bekerja dalam kumpulan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang signifikan ke atas pencapaian pelajar yang diajar dengan dua kaedah ini. Hasil tugasan pelajar yang diajar dengan kaedah perantis adalah lebih baik dari sudut reka bentuk, susun atur, pilihan warna serta semua pautannya berfungsi. Penyelidikan yang menyeluruh dan berterusan juga perlu dibuat terhadap keberkesanan pendekatan konstruktivisme agar kesan pembudayaan ICT di kalangan generasi muda berlaku secara berkesan dan berpanjangan.



TAJUK ARTIKEL   : PENGGUNAAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (ICT) DALAM KALANGAN GURU-GURU SEKOLAH KEBANGSAAN 

PENULIS ARTIKEL : CHRISTINA ANDIN @ NUR QISTINA BINTI ABDULLAH & 
                                     HAZMAN BIN ALI 

ULASAN : 

Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti tahap pengetahuan, kemahiran, sikap dan masalah penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam kalangan guru-guru di enam buah sekolah di Daerah Manjung sekitar Zon Pantai Remis Beruas. Sampel kajian seramai 120 orang yang mewakili keseluruhan populasi terlibat dalam penyelidikan ini. Hasil daripada penyelidikan ini menunjukkan tahap pengetahuan ICT di kalangan guru adalah agak tinggi dalam proses pengajaran dan pembelajaran, tetapi tahap kemahiran ICT di kalangan guru-guru pula adalah rendah. Guru juga mempunyai sikap yang positif dalam penggunaan ICT semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Hasil kajian menunjukkan guru-guru tidak mengalami masalah yang serius untuk menggunakan ICT dalam pengajaran mereka.